Wahai orang-orang yang beriman! Sambutlah panggilan Allah dan RasulNya apabila kamu telah dipanggilNya kepada apa yang menghidupkan kamu. Dan ketahuilah bahawasanya Allah akan menghalangi diantara seseorang dengan hatinya, dan sesungguhnya kepadaNya jualah kamu semua akan dikumpulkan.
Dan jauhilah oleh mu suatu fitnah yang tidak akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu saja. Dan ketahuilah bahawasanya Allah amatlah pedih siksaanNya.
Dan ingatlah olehmu ketika kamu masih sedikit dan ditindas orang dibumi, takut diperculikkan orang; maka Dia telah melindungi kamu dan menyokong kamu dengan pertolonganNya dan dikurniaiNya kamu dengan sebahagian yang baik-baik. Supaya kamu berterima kasih.
~ Al Anfaal:24:26 ~
Kita disuruh menyambut seruan, menampung segala perintah. Menyambut adalah lebih aktif daripada taat. Sehingga bukan semata menurut sahaja, bahkan bergiat dan bangun, berusaha sendiri menjemput perintah itu dan menjunjung tinggi. Oleh sebab itu bukan Allah saja yang mendekati kita, tetapi kitalah yang lebih giat lagi hendaknya mendekati Dia. Sebab segala perintah yang diturunkan Allah kepada kita ialah untuk membuat supaya kita hidup. Iaitu hidup yang sesuai dengan kita sebagai manusia. Binatang merayappun hidup, tumbuh-tumbuhanpun hidup, ikan dilautan pun hidup. Tetapi hidup untuk manusia bukanlah hidup semacam pada binatang, tumbuh-tumbuhan dan ikan dilautan. Hidup manusia ialah hidup yang sejati kerana ma'rifat, kerana mengenal siapa Tuhannya. Hidup manusia ialah kerana adanya ilmu; bijaksana, keutamaan, budi luhur,amal saleh dan jasa. Kalau itu telah tercapai, barulah hidup sebagai manusia mempunyai erti. Dan inilah yang diserukan oleh Allah dan RasulNya kepada kita.
Hidup yang tidak mempunyai ciri-ciri seperti yang tersebut, sama saja dengan mati, walaupun nafas masih turun naik. Bahkan kadang-kadang ilmu, hikmah kebijaksanaan, keutamaan, keluhuran budi yang bersumber dari ingat akan Allah itu, meminta diperjuangkan dan dijihadkan. Kadang-kadang cerailah nyawa dengan badan kerana memperhatikan nilai hidup yang sedemikian. Biar mati kerana mempertahankan nilai hakikat hidup. Kalau sudah bersedia mati kerana mempertahankan nilai hakikat hidup ini, barulah tercapai hidup yang sejati.
Kadang-kadang ada orang yang berusia sampai seratus tahun tetapi hidupnya kosong, sama dengan mati. Maka setelah dia mati, tidak adalah ertinya, sebab dia tidak pernah menjumpai hidup. Sebaliknya ada orang yang tewas kerana mempertahankan nilai hidup, maka hiduplah dia berpuluh bahkan beratus tahun, walaupun badannya telah hancur didalam tanah.
Oleh sebab itu maka ayat diatas memberi ketegasan, bahawa kalau kita mahu hidup mempunyai nilai dan erti maka sambutlah seruan Allah dan Rasul. Kalau ini telah kita sambut maka bermaknalah hidup kita didunia ini dan bermaknalah sampai ke akhirat kelak. Kalau kita tidak sambut, maka kosonglah hidup kita sebab hidup kita itu tidak mempunyai inti-cita.
( bersambung )
|