Hawa nafsu dan kelakuan manusia tidaklah akan berubah sepanjang zaman. Kerapkali manusia diberi kesempatan oleh Allah, dibukakan kepadanya pintu-pintu kemungkinan selebar-lebarnya, lalu manusia lupa kepada Allah yang memberikan nikmat, oleh kerana dia telah tenggelam dalam nikmat. Banyak manusia yang menyeleweng keluar dari garis kebenaran dan lupa bahawa Allah Maha Kuasa memutarbalikkan keadaan. Lalu dia salah arti Kemerdekaan itu, sehingga diapun hendak merdeka pula dari garis-garis yang telah ditentukan Allah. Merasa merdeka lah dia memperturutkan kehendak hawa nafsu. Melonjak tinggi kemungkaran dan maksiat. Minuman keras beredar, pergaulan diluar nikah meningkat, korupsi mengambil harta yang bukan harta sendiri, melicin tandaskan kekayaan negara untuk kepentingan peribadi. Rakyat banyak mengharap kalau Negara telah merdeka, keadilan akan tegak, bukan sebagai dizaman jajahan dahulu. Tetapi ternyata setelah kemerdekaaan itu dicapai, yang mendapat nikmat merdeka itu hanya beberapa gelintir manusia, iaitu manusia-manusia yang sudi menjual imannya kepada orang-orang zalim. Dan dengan memakai nama Demokrasi sizalim menjalankan pemerintahan Autokrasi. Manusia melantik sendiri dirinya jadi Allah. Barangsiapa yang memberi peringatan dengan jujur, dituduhnya musuh negara. Lalu dianiaya, disiksa, diasingkan dan dipenjarakan. Kezaliman itu tidak boleh ditahan-tahan sebab hawa nafsunya telah membutakan pertimbangannya yang sehat. Bertambah lama bertambah jauhlah dia dari garis yang di ridhai Allah. Inilah yang dinamakan Istidraaj iaitu bahawa dia ditarik keluar dari kebenaran dengan tidak disedarinya.
Banyak orang yang tidak sabar menunggu keputusan Allah. Orang yang lemah iman mungkin timbul keraguan dalam hatinya, bilakah Allah akan mengambil tindakan. Tetapi bagi orang yang beriman, kian memuncak kezaliman itu, kian yakin dia bahawa orang yang zalim itu sudah dekat masa jatuhnya walaupun perhitungan nya sebagai manusia tidak menampak jalan bagaimana caranya Allah akan memberikan pertolongan itu. Akhirnya diluar sangkaan manusia sama sekali si zalim jatuh dan bibit-bibit kaum yang zalim dipotong oleh Allah dan dicabut sampai ke akar-akarnya! Alhamdulillahi Rabbil'Alamiin.....!